• Facebook
  • Yahoo
  • Live
  • Google
Johan-Iskandar
by on March 13, 2017
1,931 views

Wanita-wanita Melayu (mengenakan baju kurung tradisional) termasuk wakil-wakil dari setiap negeri yang dilatih menjadi guru dilihat berjalan keluar di sebuah kolej di Melaka sekitar 1950-an. Muzium Perang Imperials, United Kingdom.

MENYELUSURI sejarah kewujudan baju kurung atau baju Melayu adalah sukar untuk menentukan siapa yang mula-mula menghasilkan atau memakai busana berkenaan.

Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Prof. Madya Dr. Haziyah Hussin berkata, baju kurung telah diperkenalkan sejak alam Melayu terutama di Indonesia yang turut dipengaruhi luar khususnya pedagang Islam dan India.

“Selain itu, busana tersebut turut dipercayai mendapat pengaruh dari Timur Tengah sebagaimana persamaan yang kita dapat lihat pada potongan leher yang berbentuk Tunik iaitu bentuk leher yang mula-mula digayakan oleh orang Arab terdahulu. Pakaian asal yang digayakan pada ketika itu dalam keadaan ketat dan singkat,” katanya.

 

Busana baju kurung sekarang berasal dari Johor ketika zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar di Teluk Belanga, Singapura pada 1800. Bagaimanapun, terdapat beberapa pendapat lain turut dikemukakan mengenai busana tersebut.

“Antaranya kenyataan pengkaji sejarah pakaian dan tekstil yang dikenali sebagai Gettinger (1979) yang menyatakan baju kurung merupakan busana yang dipakai oleh penari istana di Palembang.

“Beliau juga menyatakan pakaian tersebut popular di Sumatera pada abad ke-20. Sementara itu, seorang penulis buku bertajuk Ungkapan Tradisional Melayu Riau iaitu Tenas Effendy (1989) turut mengumpul maklumat berdasarkan pertuturan orang tua di daerah Riau, daerah rumpun Melayu yang terdekat dengan Malaysia (Semenanjung Tanah Melayu) tentang baju kurung.

“Baju kurung yang digambarkan oleh beliau ialah baju kurung teluk belanga atau baju kurung yang dijahit dengan jahitan tulang belut di bahagian leher yang nampak halus dan rapi.

“Busana tersebut merupakan pakaian wanita yang sopan dan juga pakaian setiap ahli dalam golongan masyarakat ketika menghadiri pelbagai majlis dan adat,” katanya.

Katanya, baju kurung pada asalnya adalah nama yang diberikan kepada busana tradisional Melayu sama ada bagi golongan lelaki mahupun wanita.

“Baju kurung kemudiannya mendapat variasi dari segi nama seperti baju Melayu bagi kurung lelaki sementara pakaian untuk wanita pula dikekalkan dengan nama baju kurung,” katanya.

Menurutnya lagi, baju kurung pada awalnya tidak begitu anggun rupa dan gayanya kerana ia dibuat agak besar, Ionggar, labuh dan baju ini pula dijahit mesin di bahagian kelim dan kelepet.

“Perubahan bagaimanapun telah dibuat dari segi potongan dan jahitan ketika zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar. Baginda yang terkenal sebagai ‘Bapa Johor Moden’ begitu mementingkan dan mahukan orang Melayu Johor memakai pakaian yang kemas, segak dan santun.

“Bertitik tolak daripada itu maka terciptalah baju kurung teluk belanga yang kemas potongannya dan halus jahitannya,” katanya.

Dalam pada itu dari segi sejarah, baju kurung wanita dan lelaki pada awalnya dinamakan sebagai baju kurung teluk belanga. Nama tersebut diberikan berdasarkan nama sebuah tempat di Teluk Belanga, Singapura sempena pemakaian baju tersebut ketika Sultan Abu Bakar bersemayam di situ.

“Baju itu diberi nama berdasarkan perubahan yang dibuat pada baju berkenaan oleh baginda khususnya dari segi potongan yang lebih anggun dan jahitan lebih halus, selain memperkenalkan jahitan tangan tulang belut di bahagian leher dan sembat di bahagian kelim dan kelepet,” katanya.

Berdasarkan Sejarah Melayu juga, Tun Hassan Temenggung merupakan individu pertama yang mengubahsuai baju kurung dalam bentuk asal kepada bentuk baju Melayu yang dapat dilihat dipakai golongan lelaki pada masa kini.

Dengan peredaran zaman, identiti baju kurung telah mengalami pelbagai perubahan yang turut menyaksikan lahirnya baju kurung moden. Evolusi yang berlaku juga memperlihatkan beberapa perbezaan di antara baju kurung tradisional dan moden.

“Baju kurung tradisional mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan busana tersebut dengan yang lain seperti berpesak, berkekek, berleher bulat, berlengan panjang dan labuh sehingga di bawah paras lutut.

“Terdapat juga ciri khusus lain seperti dijahit sembat pada bahagian kelim dan kelepet, selain turut dikemaskan lagi dengan jahitan tulang belut.

“Bagi baju kurung moden pula, busana tersebut tidak berkekek dan berpesak, lengan panjang dan labuh di atas paras lutut. Baju jenis ini biasanya dijahit dengan kelim belah kangkung atau jahit bungkus atau kelim betawi. Bahagian kelepet baju ini biasa dijahit sembat susup atau silang pangkah,” katanya.

Tambahnya, istilah kurung moden pula adalah berdasarkan perubahan yang dibuat pada baju berkenaan. Baju jenis ini biasanya ketat dan berzip di belakang, memandangkan pola baju ini tidak mempunyai pesak dan kekek.

Bagi baju Melayu pula, pakaian tersebut tidak dikemas dengan jahitan sembat dan tulang belut. Baju teluk belanga bagaimanapun lebih mempunyai nilai tradisi kerana kelim dan baju dijahit sembat dan bahagian leher pula dikemas dengan jahitan tulang belut.



Sumber
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Posted in: History / Sejarah
2 Liked
2 people like this.